Hotline: 81860376
(WA Message | Operating 9am - 6pm | PH: Closed)

Follow Us:

WA Channel
REGISTER NOW
LMS Login
REGISTER NOW
LMS Login

Hotline: 9382 5201 (WA/SMS)

Announcements

Nusa featured in Berita Harian


PERMINTAAN khidmat tuisyen Bahasa Melayu telah meningkat sehingga 30 peratus sejak tiga tahun lalu, kata beberapa penyedia khidmat tuisyen kepada Berita Minggu.

Mereka menyifatkan kurangnya penggunaan bahasa ibunda di rumah dan tuntutan subjek yang semakin mencabar menyebabkan ibu bapa payah membantu anak mereka.

Pemilik EliteTutors, Encik Jerry Tan, berkata lebih banyak keluarga kini lebih selesa berbual dalam bahasa Inggeris dan ini termasuk golongan datuk nenek.

“Pelajar sekarang juga hanya menggunakan bahasa ibunda di dalam bilik darjah. Mereka tidak menggunakannya atau menonton sesuatu kandungan video dalam bahasa ibunda,” katanya.

Akur, Pengarah Pusat Bahasa Nusa, anak syarikat Edufront Learning, Cik Hayati Abdullah, berkata tuntutan subjek Bahasa Melayu yang kini semakin mencabar menjadikannya lebih sukar untuk pelajar menggarap bahasa itu dengan sepenuhnya.

 

“Kesukaran yang pelajar hadapi hari ini bukan sahaja daripada segi bahasa, malah kemahiran berfikir dengan lebih tinggi.

“Mereka juga perlu mempunyai kebolehan memproses data apabila menjawab sesetengah soalan peperiksaan.

 

“Daripada segi ujian lisan juga, soalannya kini lebih sukar dan formatnya berbeza di mana di peringkat sekolah menengah, pelajar diperlukan membincangkan sesuatu isu nasional dalam bahasa Melayu, ” katanya.

Menurutnya, pelajar yang mendapatkan bantuan dalam Bahasa Melayu di pusat tuisyennya bukan sahaja merangkumi yang lemah, malah yang sudah mahir tetap mahu terus memperkasa pengetahuan mereka.

Cik Hayati, yang mempunyai pengalaman mengajar Bahasa Melayu lebih 10 tahun menambah, berbanding zaman dulu di mana pembelajaran Bahasa Melayu lebih kepada membina struktur ayat dan memperbaiki mutu penulisan, kini pengajaran bahasa terpaksa mengambil pendekatan terjemahan.

“Pembelajaran melalui cara dwibahasa merupakan caranya sekarang. Tidak menjadi masalah jika pelajar berfikir dalam bahasa Inggeris dan kemudian cuba menterjemahkan apa yang ingin diketengahkan ke dalam bahasa Melayu,” ujarnya.

Beliau juga berkata pihaknya banyak memanfaatkan fungsi dwibahasa yang terdapat dalam laman Berita Harian untuk mengajar pelajar hari ini.

“Saya rasa fungsi itu memang amat berguna. Dengan hanya menggerakkan tetikus ke atas perkataan, ia akan diterjemah secara langsung dan ini memudahkan pelajar apabila membaca sesuatu artikel, sekali gus mempertingkat kosa kata mereka,” katanya lagi.

Sejak tujuh tahun lalu juga, pusat tuisyen itu telah menyediakan khidmat tuisyen Bahasa Melayu bagi kanak-kanak tadika, khususnya mereka yang di Tadika 2 dan akan melangkah ke Darjah 1.

“Ada di antara kanak-kanak ini tidak mempunyai Bahasa Melayu di prasekolah mereka, jadi ibu bapa akan menghantar anak mereka kepada kami untuk mempersiapkan mereka sebelum ke Darjah 1,” katanya.

Ditanya apa yang boleh dilakukan untuk terus menanam minat cinta bahasa, Cik Hayati berkata meski pelbagai usaha dilaksanakan di peringkat sekolah dan nasional, mungkin apa yang diperlukan kini adalah mendapatkan lebih banyak usaha kerjasama dengan tokoh atau pempengaruh media sosial untuk memuat naik kandungan ke dalam media sosial mereka dalam bahasa Melayu.

Beliau merujuk kepada cara yang dilakukan mantan Mufti, Ustaz Fatris Bakaram, yang banyak menggunakan bahasa Melayu, yang diselang-selikan dengan kosa kata indah dan dalam bentuk anekdot yang mudah difahami ramai.

Seorang bekas guru Bahasa Melayu di sekolah menengah, Cik Shakirah Md Yusuf, 41 tahun, berkata, selain itu, guru boleh memainkan peranan untuk pertama sekali menyemai rasa cinta terhadap bahasa Melayu kepada anak murid.

“Saya rasa tugas guru sekarang lebih mencabar kerana murid sekarang gerun dengan bahasa Melayu sehingga membuat mereka selalu gagal dalam subjek tersebut.

“Justeru, untuk meningkatkan tahap keyakinan murid, perlu dipupuk rasa cinta terlebih dahulu,” katanya.

Semasa di sekolah dahulu, beliau sering menggunakan cara seperti menganalisis lirik lagu dan resipi makanan. Malah, beliau pernah bersama-sama muridnya menukar lirik lagu Justin Bieber ke bahasa Melayu.

Tetapi baginya, yang lebih penting ialah peranan ibu bapa menyemai rasa cinta itu.

“Ibu bapa tidak boleh sekadar mengharapkan guru sahaja. Sebelum ibu bapa ‘memaksa’ anak mereka menggunakan bahasa Melayu, mereka perlu menggunakannya terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

https://www.beritaharian.sg/setempat/permintaan-tuisyen-bahasa-melayu-meningkat-sejak-tiga-tahun-lalu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Privacy Settings
We use cookies to enhance your experience while using our website. If you are using our Services via a browser you can restrict, block or remove cookies through your web browser settings. We also use content and scripts from third parties that may use tracking technologies. You can selectively provide your consent below to allow such third party embeds. For complete information about the cookies we use, data we collect and how we process them, please check our Privacy Policy
Youtube
Consent to display content from - Youtube
Vimeo
Consent to display content from - Vimeo
Google Maps
Consent to display content from - Google
Spotify
Consent to display content from - Spotify
Sound Cloud
Consent to display content from - Sound