Blog: Berita Harian SG: Pemenang ‘Saya boleh Mengarang’ akui cinta bahasa, sastera Melayu
Repost : https://www.beritaharian.sg/setempat/pemenang-saya-boleh-mengarang-akui-cinta-bahasa-sastera-melayu
Minat yang mendalam terhadap sastera telah mendorong Muhammad Akhmal Salleh untuk berjumpa dengan tokoh-tokoh sastera kegemarannya. Perjumpaan ini telah mengilhamkan Akhmal, 16 tahun, untuk mencipta karangannya dengan gaya yang unik dan berbeza.
Sementara itu, Myra Safira Muhammad Khalil, dari Sekolah Rendah Perempuan Raffles yang mengaku “cinta Bahasa Melayu” sejak kecil lagi, bersungguh-sungguh meningkatkan penguasaan bahasa ibundanya.
Mereka adalah antara pemenang dalam Peraduan “Saya boleh Mengarang” yang memasuki tahun keenam tahun ini.
Peraduan tersebut dianjurkan Pusat Bahasa Nusa, anak syarikat Edufront Learning Centre, sempena Bulan Bahasa tahun ini.
“Menerusi pertandingan ini, saya berharap pelajar-pelajar dapat berkecimpung dalam usaha mendalami penggunaan dan cinta terhadap bahasa Melayu” kata Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa tahun ini.
Akhmal, penerima anugerah Johan dalam kategori ‘E’ untuk peserta 15 atau 16 tahun, mula berminat menulis semasa mempelajari subjek sastera di sekolah yang telah meningkatkan pemahaman dan penghargaannya tentang bangsa dan budaya Melayu. Pelajar dari Sekolah Menengah Tanjong Katong itu juga cuba memperluas pembacaannya dan gembira dapat bertemu sasterawan mapan, Encik Peter Augustine Goh.
“Semasa perjumpaan itu, saya menanyakan banyak soalan pada beliau untuk cuba memahami proses penulisan dan pemikirannya. Saya juga ingin mengikuti jejak langkahnya untuk memperbaiki gaya penulisan saya.” ujar Akhmal.
Akhmal menambah, keluarganya memainkan peranan penting dalam memupuk minatnya dalam penulisan.
“Saya sangat gembira kerana dapat membanggakan cikgu dan ibu bapa saya yang telah memberikan sokongan besar dalam persiapan untuk pertandingan ini” kata Myra.
Bagi Myra, penyertaan dalam peraduan ini adalah satu cara untuk melestarikan Bahasa Melayu dalam masyarakat.
Majlis Anugerah Peraduan Penulisan Melayu Kebangsaan diadakan di Auditorium Perpustakaan Woodlands pada Selasa, dihadiri lebih 200 tetamu.
Peraduan ini menarik 415 penyertaan dari 60 sekolah rendah dan menengah mengikut kategori yang diadakan.