Wawancara Pemenang Saya Boleh Mengarang (SBM) Kategori
Selamat datang ke edisi khas blog ini, di mana kami berkesempatan untuk wawancara pemenang Kategori B bagi pertandingan Saya Boleh Mengarang (SBM) yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa NUSA. Kami sangat berbesar hati kerana berpeluang untuk wawancara ibu kepada Nur Diana binte Asha’ari, pemenang Kategori B bagi pertandingan Saya Boleh Mengarang (SBM) yang merupakan peserta bagi wakil persendirian. Mari kita lihat butiran menarik wawancara ini.
- Apakah yang menyebabkan Diana berminat dengan bahasa Melayu dan tertarik untuk menyertai pertandingan SBM ini?
Ibu Diana: Semasa di prasekolah dan tadika, Diana mempelajari bahasa Cina sebagai bahasa ibunda. Diana tidak mempunyai peluang untuk belajar bahasa Melayu di dalam kelas. Tetapi, semasa di sekolah rendah, Diana menunjukkan minat yang tinggi untuk mempelajari bahasa Melayu. Guru-guru Melayu dari Sekolah Rendah West Spring sangat berdedikasi untuk mengajar Diana bagi subjek bahasa Melayu. Malahan, guru-gurunya turut memberi sokongan yang kuat kepada Diana semasa dia ingin belajar bahasa Melayu. Diana juga diberi peluang oleh gurunya untuk menjadi wartawan cilik bahasa Melayu di sekolah. Ini juga membuatnya sangat berminat dengan bahasa Melayu. Selain itu, Diana tertarik dengan pertandingan SBM ini kerana dia mahu bertanding dengan murid-murid sekolah rendah yang lain. Peluang ini memberinya semangat untuk menunjukkan bakatnya dalam mengarang.
Pewawancara: Hebatnya, Diana! Walaupun pada mulanya Diana tidak berpeluang belajar bahasa Melayu di prasekolah dan tadika, minat yang mendalam untuk mempelajari bahasa tersebut di sekolah rendah menunjukkan kesungguhan Diana dalam menguasai ilmu baharu. Sokongan dan dedikasi guru-guru di Sekolah Rendah West Spring pastinya memberi dorongan yang besar dan peluang untuk menjadi wartawan cilik bahasa Melayu dan sudah tentu akan memperkukuh minat Diana.
- Apakah persediaan yang dilakukan Diana sebelum menulis karangan bagi pertandingan SBM?
Ibu Diana: Diana seorang anak yang sangat suka membaca. Dia gemar membaca cerpen-cerpen yang terkandung dalam majalah bahasa Melayu. Cerpen-cerpen itu juga sangat membantu Diana menulis soalan-soalan karangan di sekolah. Karangan sekolah rendah lebih kepada karangan berbentuk naratif. Oleh sebab itu, dia membaca cerpen-cerpen itu bagi menambah pengetahuan dan kosa kata bahasa Melayu. Tambahan pula, di sekolah, Dania banyak membuat latihan karangan. Latihan-latihan karangan ini diberikan oleh gurunya bagi melatih pelajar-pelajar menulis karangan.
- Apakah cabaran yang dihadapi Diana semasa menjalani pertandingan ini?
Ibu Diana: Cabaran yang dihadapi Diana adalah semasa dia memilih tajuk atau soalan untuk pertandingan ini. Diana merasakan dia perlu memilih tajuk yang menarik dan memudahkan dia mendapat idea untuk menulis karangan. Pemilihan tajuk karangan penting kerana ini akan membantu dia menulis karangan dengan lebih menarik. Yang lebih menariknya pemilihan tajuk juga dilakukan sendiri oleh Diana. Walaupun Diana mempunyai cabaran dalam pemilihan tajuk, dia telah berjaya memilih soalan dengan baik. Alhamdulillah, dia mampu menulis karangan dengan baik.
- Apakah langkah atau tindakan yang akan diambil bagi mempertingkat lagi bahasa Melayu Diana? Adakah akan menyertai pertandingan-pertandingan lain seperti bercerita atau lain-lain?
Ibu Diana: Langkah-langkah yang boleh Diana ambil bagi mempertingkatkan diri dalam bahasa Melayu adalah dengan menonton berita dan filem-filem Melayu. Dengan menonton berita dan filem-filem Melayu, ini akan menambahkan kosa kata bahasa Melayu dan memahami penggunaan bahasa dalam konteks yang berbeza. Dia seorang yang pemalu. Mungkin dengan menyertai pertandingan seperti bercerita boleh membuatnya lebih berani. Pada pendapat saya, pertandingan bercerita ini boleh menjadi langkah yang baik untuk mengasah keyakinannya dalam berkomunikasi dan mampu menonjolkan kehebatannya dalam bahasa Melayu.
- Bagaimanakah penglibatan Ibu dan Ayah Diana semasa menjalani pertandingan SBM?
Ibu Diana: Kami memberi Diana sokongan dan motivasi yang berterusan semasa dalam pertandingan ini. Setiap langkah yang diambilnya, kami iringi dengan kata-kata semangat dan dorongan agar dia tidak merasa keseorangan. Walaupun lokasi pertandingan peringkat akhir ini agak jauh untuk kami, namun Diana sangat bersemangat dan kami juga tetap hadir demi memberikan sokongan moral kepada Diana. Kami suka melihat semangat Diana dalam pertandingan ini.
Kesimpulannya, kejayaan Diana dalam pertandingan Saya Boleh Mengarang (SBM) ini bukan sahaja mencerminkan usaha dan ketekunannya dalam menguasai bahasa Melayu, tetapi juga menggambarkan betapa pentingnya sokongan daripada guru-guru dan keluarga dalam membentuk keyakinan serta potensi seorang anak. Semoga pencapaian Diana menjadi inspirasi kepada semua murid untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Kami ucapkan tahniah kepada Diana dan keluarganya atas kejayaan yang membanggakan ini dan berharap Diana akan terus berminat dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bahasa Melayu. Semoga penglibatan Diana ini sedikit sebanyak boleh membantu Diana memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan terutama bagi subjek Bahasa Melayu.
Lawati lelaman kami www.malaytuitionsg.com untuk mendapatkan info-info bahasa Melayu dan program-program yang ditawarkan!